My Add

Saturday 30 March 2013

Mikro Kredit Ar Rahnu catat keuntungan tertinggi

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Pulangan pelaburan melalui program Mikro Kredit Ar Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mencatat kadar peningkatan sebanyak 8.05 peratus pada tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pulangan itu merupakan yang tertinggi sejak program tersebut diperkenalkan 11 tahun lalu.

Tambah beliau, pulangan yang akan diterima penyedia dana itu juga jauh lebih tinggi daripada pulangan akaun pelaburan melalui mana-mana institusi kewangan di negara ini.

“Perkembangan program Ar Rahnu berupaya memberi perkhidmatan melalui transaksi terkumpul berjumlah 6.1 juta dengan jumlah pembiayaan terkumpul sebanyak RM10.2 bilion dikeluarkan sejak program ini diperkenalkan.

“Setiap tahun, sebanyak 1.2 juta kumpulan sasar menerima manfaat daripada skim ini melibatkan pembiayaan tahunan berjumlah RM1.8 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Keuntungan Pelaburan Program Mikro Kredit Ar Rahnu Yapeim 2012 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yapeim, Datuk Abd. Malek Awang Kechil dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Othman Mustapha.

Dalam majlis itu, Jamil Khir menyampaikan keuntungan Mikro Kredit Ar Rahnu tersebut kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Johor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Kedah.

Pelabur-pelabur lain yang turut menerima keuntungan daripada program tersebut ialah Tabung Baitulmal Sarawak, Majlis Agama Islam Melaka dan Majlis Ugama Islam Pahang.

Menurut Jamil Khir, program itu secara keseluruhannya menguasai sebanyak 54 peratus pasaran dalam industri pajak gadai di negara ini.

Tambah beliau, bagi meluaskan perkhidmatan Ar Rahnu ke seluruh negara, Yapeim akan menambah sebanyak 24 cawangan tahun ini manakala sebanyak 96 cawangan lagi akan diwujudkan dalam tempoh antara 2014 dan 2018.

“Dijangkakan penguasaan program Ar Rahnu akan meningkat kepada 60 peratus dalam industri pajak gadai di negara ini menjelang 2018," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment