NUTP minta tangguh pelaksanaan syarat wajib lulus bahasa Inggeris
GENTING HIGHLANDS, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Pelaksanaan syarat wajib lulus subjek Bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun akan datang berbanding cadangan awal pada 2016.
Cadangan itu antara hasil pembentangan Kajian Pertengahan Penggal 200 Perwakilan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) seluruh negara di sini hari ini.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, NUTP menyokong penuh syarat baharu tersebut namun mengharapkan Kementerian Pelajaran tidak melaksanakannya segera bagi memberi tumpuan dari segi persiapan guru dan murid ke arah kejayaan pelaksanaan itu.
"Tempoh 12 tahun sehingga 2025 itu bagi memberi ruang dan masa kepada persediaan kemudahan di sekolah, latihan dan bimbingan kepada guru kemahiran tinggi termasuk persediaan dalam kalangan pelajar," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan pembentangan kajian itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini memberitahu, subjek Bahasa Inggeris berkemungkinan besar dijadikan mata pelajaran wajib lulus bagi SPM bermula 2016. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment