Mandela dilaporkan ceria dan semakin sembuh
JOHANNESBURG, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Ikon keamanan, Nelson Mandela berada dalam keadaan “ceria” dan semakin sembuh selepas dua hari berada di hospital akibat jangkitan paru-paru, kata kenyataan pejabat Presiden Afrika Selatan.
Doa dan mesej kebimbangan berhubung kesihatan pemimpin berusia 94 tahun itu mencurah masuk dari seluruh dunia sejak beliau dimasukkan ke hospital Rabu lalu.
“Beliau ceria, Mandela menghabiskan sarapannya dan doktor-doktor memberitahu beliau ceria,” kata jurucakap pejabat Presiden, Mac Maharaj.
Presiden Jacob Zuma cuba menyakinkan rakyat Afrika Selatan kelmarin bahawa tokoh anti-aparteid dan presiden kulit hitam pertama itu berada dalam keadaan baik.
“Rakyat tidak perlu panik, Madiba (Mandela) berada dalam keadaan baik,” kata Zuma kepada Perbadanan Penyiaran British.
Ini merupakan kali kedua pada bulan ini Mandela dimasukkan ke hospital selepas berada semalaman untuk pemeriksaan kesihatan pada 9 Mac lalu. - AFP/KOSMO!
No comments:
Post a Comment