My Add

Saturday 30 March 2013

Polis tumpas sindiket ah long

Oleh ANGELINA SINYANG
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Kegiatan sindiket yang menjadikan kakitangan awam dan swasta sebagai sasaran untuk pinjaman wang mudah sebelum mereka dipaksa menyerahkan kad pengeluaran wang automatik (ATM) bagi membolehkan gaji dipotong setiap bulan, terbongkar dengan penangkapan 11 pekerja di sebuah syarikat ah long di ibu negara, Isnin lalu.

Suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan dua perempuan ditangkap dalam serbuan di pejabat sindiket itu di Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini pada pukul 8.30 pagi.

Semasa serbuan, seorang suspek bertindak melarikan diri dengan cuba melanggar pegawai dan anggota polis dengan sebuah kereta tetapi berjaya ditangkap.

Polis turut merampas dua kereta iaitu jenis Perodua Myvi dan Proton Wira, sebuah motosikal, wang tunai RM55,810, dua set komputer, 520 keping kad ATM milik peminjam serta dokumen-dokumen permohonan pinjaman dari syarikat berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, 11 suspek ditangkap terdiri daripada penyedia pinjaman, kerani pejabat, pengedar kad dan risalah, pemproses permohonan pinjaman dan juga pengutip hutang.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah mengedarkan kad nama dan risalah pinjaman wang di pejabat dan perumahan di sekitar daerah Ampang dan Cheras.

"Peminjam dikehendaki menyerahkan salinan kad pengenalan, slip gaji, bil elektrik atau air dan juga kad ATM yang digunakan untuk menerima gaji.

"Sindiket menjadikan penjawat awam dan pekerja swasta yang mempunyai pekerjaan tetap sebagai sasaran kerana pendapatan mereka adalah tetap dan mudah untuk mengutip hutang," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kadar faedah yang dikenakan ialah 6 peratus sebulan bagi penjawat awam dan 7 peratus sebulan bagi pekerja swasta.

Menurutnya, kadar faedah atau bunga tersebut adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar pinjaman yang ditetapkan kerajaan iaitu 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa cagaran.

Katanya, sindiket akan memegang kad ATM peminjam dan mengeluarkan wang dari akaun bank mangsa pada hari gaji untuk membayar balik pinjaman.

"Peminjam perlu menuntut balik baki wang dari sindiket selepas ditolak hutang peminjam," katanya sambil memberitahu sindiket terbabit telah beroperasi sejak Mei tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua suspek dan rampasan barang kes telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah Cheras untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment