My Add

Saturday 30 March 2013

'Memang saya memberitahu segala-galanya kepada Sidek'

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Tokoh ilmuwan dan pendakwah, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba tidak akan meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya Ketua Pembangkang itu bebas daripada salah laku moral kerana mereka telah bersahabat karib sejak lebih 30 tahun lalu.

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, selaku bekas pelajar Sidek, beliau cukup mengenali integriti serta ketinggian prinsip pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu dalam mencari kebenaran sebelum membuat keputusan.

Beliau yang mengakui mendedahkan kisah panggilan telefon Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada Sidek berkata, detik itu jugalah yang mencetus kesedaran untuk meninggalkan Anwar walaupun sebelum ini sanggup berkorban nyawa demi Ketua Pembangkang berkenaan.

"Ya, memang saya memberitahu segala-galanya kepada Sidek. Saya beritahu kisah panggilan Kak Wan (Wan Azizah) ketika saya berada di rumah Anwar. Kak Wan ketika itu di Washington dan beliau bertanya mengenai seorang lelaki dan minta saya perhatikan Anwar.

"Sikap curiga Kak Wan terhadap suaminya menimbulkan konflik dalam diri saya dan akhirnya persoalan itu terjawab. Anwar dibelenggu masalah moral kronik dan tidak layak menjadi Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Sidek, bekas sahabat karib Anwar yang bertanggungjawab bersama-sama membangunkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bahawa keruntuhan moral adalah faktor utama beliau meninggalkan Ketua Pembangkang itu.

Malah, Sidek ketika mendedahkan perkara itu dalam program Wacana Cuit: Dilema Melayu Moden di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) kelmarin, secara terbuka mendedahkan Ezam menceritakan segalanya mengenai kisah gelap tersebut berserta bukti.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Rahimi Osman yang menjadi antara individu pemegang 'diari merah' Ketua Pembangkang juga mengakui beliau mendedahkan segala 'cerita dalam kain' kepada Sidek termasuk kisah dengan Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Katanya, selain itu, beliau turut menyerahkan salinan bukti berupa 18 pucuk surat yang dihantar Anwar kepada para pelobi Yahudi sekali gus menggambarkan betapa istimewanya hubungan Ketua Pembangkang tersebut dengan kelompok Zionis.

"Rakyat boleh menilai sendiri mengapa seseorang yang begitu istiqamah, berprinsip dan sanggup ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) demi mempertahankan Anwar akhirnya meninggalkan Anwar selepas bersahabat lebih 30 tahun.

"Sidek bukan ahli politik dan akhlaknya yang bersih memang diakui kawan mahupun lawan, jadi adakah kesemua 28 saksi hidup yang ditemui beliau sebelum mengambil keputusan meninggalkan Anwar itu berbohong? Rakyat perlu nilai perkara ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment