My Add

Saturday 30 March 2013

PDRM tunggu keputusan kerajaan

 *SEBAHAGIAN daripada penduduk dibawa melihat kemusnahan harta
 benda mereka akibat pertempuran hampir sebulan antara kumpulan pengganasdengan pasukan keselamatan dalam Ops Daulat, Kampung Tanjung Batu,Lahad Datu, Sabah semalam.

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Polis mengesahkan Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah kini selamat untuk diduduki semula tetapi tarikh bila penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bergantung kepada keputusan kerajaan negeri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid berkata, ketika ini operasi pembersihan rumah-rumah yang pernah menjadi tempat persembunyian pengganas Kiram di perkampungan tersebut telah pun hampir selesai dijalankan.

"Pihak kami mengesahkan Kampung Tanduo selamat untuk diduduki semula tetapi kami perlu menunggu keputusan kerajaan negeri sebelum mengeluarkan arahan membenarkan penduduk pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada waris pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas Kiram.

Pada majlis tersebut, anak-anak dan balu perwira negara menerima bantuan kewangan dan komputer riba yang disampaikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Salleh berkata, pengganas kini tidak lagi mampu menyerang anggota keselamatan secara agresif memandangkan mereka hanya bergerak dalam kumpulan kecil untuk bersembunyi.

Dalam pada itu, beliau berkata, penduduk kampung di tiga kawasan utara pantai timur Sabah iaitu Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Sungai Bilis telah mula pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat-peringkat bermula pagi tadi.

"Keadaan di ketiga-tiga kawasan ini telah kembali seperti sedia kala. Justeru, penduduk tidak perlu lagi bimbang dengan ancaman pengganas kerana operasi pembersihan telah selesai dijalankan oleh pihak PDRM dan tentera sebelum kawasan itu disahkan selamat," katanya.

Ditanya mengenai tahap keselamatan di Lahad Datu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, beliau memberi jaminan situasi di situ selamat.

"Saya menjamin Lahad Datu berada pada situasi selamat bagi menghadapi pilihan raya dan pihak PDRM sentiasa bersedia untuk menghulurkan sebarang bentuk kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika diperlukan.

"Memandangkan pengganas kini hanya tinggal saki baki, maka saya jamin ia tidak akan memberi kesan pada pilihan raya umum nanti," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment