My Add

Saturday 30 March 2013

Guan Eng diminta tidak kaitkan pihak lain kesilapan kira kos terowong

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak sewajarnya mengaitkan mana-mana pihak lain ekoran kesilapan pengumuman kos pembinaan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Sambil menggesa Setiausaha Agung DAP itu memohon maaf ekoran kesilapan tersebut, bekas Ketua Cawangan DAP Sungai Pelek, Tan Tuan Tat berkata, Guan Eng juga sepatutnya berani mengakui kesilapan sendiri.

Menurut beliau, Guan Eng sepatutnya mengambil pengajaran daripada isu pengiraan undi dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu Disember tahun lalu, yang juga berpunca daripada kesilapan sehingga mencetuskan kemarahan ahli DAP sehingga kini.

"Jika dulu dalam isu salah kira undi CEC, Guan Eng kata ada masalah teknikal dengan program komputer, adakah dalam isu kos terowong ini beliau mahu menyalahkan kalkulator?

"Ini jelas menunjukkan sikap Guan Eng yang kebudak-budakan serta angkuh kerana tidak sanggup berhadapan kelemahan sendiri serta parti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan menjelaskan, beliau tidak menolak Guan Eng akan menyalahkan UMNO dan MIC dalam masalah 'silap taip' berhubung pengumuman kos pembinaan projek terowong dasar laut itu.

Kos projek itu serta tiga rangkaian lebuh raya yang dirancang DAP meningkat sebanyak RM2.2 bilion daripada jumlah asal yang dinyatakan kerajaan negeri iaitu sebanyak RM4.08 bilion.

Mengulas lanjut, Tuan Tat berkata, masalah 'silap taip' itu disifatkan sebagai bodoh kerana kesilapan tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam sebarang dasar membabitkan wang rakyat.

Sementara itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, berkata, sikap menuding jari kepada pihak lain merupakan taktik lapuk yang sering diguna pakai parti pembangkang.

"Dari dulu lagi pihak pembangkang memang tidak pernah mengakui kesilapan sendiri dan tabiat itu terbawa-bawa walaupun selepas diberi mandat memerintah," katanya.

Dalam masa sama, Anuar menyeru masyarakat tidak mudah mempercayai helah dan taktik basi pembangkang itu sebaliknya lebih peka dan bijak menilai setiap kenyataan mereka.

Tambah beliau, isu 'silap taip' itu jelas menunjukkan sikap ego pemimpin pembangkang yang tidak berjiwa besar dan tidak cukup berani berhadapan realiti ketika timbulnya sebarang masalah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment