APMM patahkan cubaan seludup keluar dadah RM2 juta di Pulau Upeh
ALOR GAJAH, JUMAAT, 29 Mac, 2013: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup keluar lebih 40 kilogram dadah bernilai hampir RM2 juta di perairan Melaka berhampiran Pulau Upeh di sini, hari ini.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Melaka/Negeri Sembilan, Kapten Maritim Abu Bakar Idris, berkata dalam kejadian jam 6.25 pagi itu, bot peronda APMM yang melakukan Operasi Khas di perairan Melaka mengesan sebuah bot gentian kaca yang mencurigakan kira-kira tiga batu nautika barat daya Sungai Melaka.
"Bot Kilat 19 APMM yang dinaiki seorang pegawai dan tiga anggota kemudian mengejar dan mengarahkan bot tersebut berhenti untuk pemeriksaan namun tidak diendahkan malah memecut lebih laju," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 10 das tembakan amaran ke udara dilepaskan anggota APMM disebabkan bot itu bertindak ganas dengan melanggar bahagian belakang kanan bot Kilat 19 APMM untuk melepaskan diri.
Katanya, selepas mengejar lebih kurang 15 minit, kru bot gentian kaca itu mencampakkan dua beg berwarna hitam ke laut dan melarikan diri.
Abu Bakar berkata, kedua-dua beg tersebut dijumpai dengan jarak masing-masing 500 meter di kawasan berhampiran Pulau Upeh.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua beg itu, pihak APMM menemui 46 bungkus plastik mengandungi dadah disyaki jenis ekstasi yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment