My Add

Wednesday 30 October 2013

Kolej Universiti Koperasi beroperasi Jun 2014

IPOH, SELASA, 29 Oktober, 2013: Kolej Universiti Koperasi yang dicadangkan penubuhannya sebelum ini dijangka mula menawarkan kursus pada Jun tahun depan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Basaruddin Sadali berkata, penubuhannya dijangka mampu meningkatkan peranan koperasi dalam ekonomi negara.

Menurut beliau, untuk permulaan, kursus yang ditawarkan di kolej universiti itu akan dilaksana menerusi program berkembar dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

"Apabila wujud kelak, kolej universiti ini akan melatih mereka yang berminat untuk membangunkan koperasi seterusnya menjadi usahawan koperasi," katanya.

Beliau ditemui selepas penyerahan sumbangan kepada Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan, di sini hari ini.

Menurut Basaruddin, koperasi di negara ini belum mencapai penguasaan yang tinggi dalam perniagaan seperti di Jepun atau Korea Selatan.

Beliau menjelaskan, sektor koperasi di kedua-dua negara tersebut menguasai hampir 30 peratus perniagaan berbanding cuma dua peratus koperasi di negara ini.

Katanya, setakat ini, terdapat kira-kira 10,000 koperasi yang berdaftar dengan keahlian sebanyak 1.7 juta orang serta perolehan sebanyak RM16 bilion.

"Jadi, untuk meningkatkan keberkesanan dan pembangunan koperasi, kita harus bermula dari peringkat paling bawah iaitu di sekolah-sekolah," katanya.

"Terdapat kira-kira 10,000 buah sekolah, 5.4 juta pelajar dan 450,000 guru di seluruh negara dan aktiviti koperasi di sekolah akan lebih berjaya jika semua ini digabungkan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment