![]() |
ZULKIFELI MOHD. ZIN |
KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Oktober, 2013: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diseru mencontohi pengorbanan Nabi Ibrahim serta anaknya Nabi Ismail yang sanggup berkorban jiwa demi melaksanakan perintah Allah SWT.
Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin meminta anggota ATM supaya menterjemahkan pengorbanan para nabi itu dalam konteks pengorbanan kepada agama, bangsa dan negara pada hari ini.
Katanya, pengajaran daripada peristiwa Nabi Ibrahim serta Nabi Ismail itu bukan sahaja membabitkan soal pengorbanan tetapi juga mencakupi kepatuhan kepada perintah dan bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu.
"Peristiwa itu wajar dijadikan iktibar oleh setiap anggota ATM. Mereka sewajarnya menterjemahkannya dalam bentuk kesediaan untuk berkorban jiwa dan raga dalam mempertahankan agama, bangsa serta negara.
"Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha ini, saya berharap anggota dapat meningkatkan ketaqwaan mereka dan menjadi perisai berwibawa kepada pertahanan negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis korban dan akikah Hari Raya Aidiladha ATM di pekarangan Masjid Khalid al-Walid di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Staf Markas ATM, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari.
Majlis korban tersebut merupakan acara tahunan ATM yang diadakan khusus untuk warga Kementerian Pertahanan, ketiga-tiga ketumbukan angkatan itu iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta penduduk setempat di sekitar kawasan masjid berkenaan.
Tahun ini sebanyak 26 lembu dikorbankan termasuk disumbangkan oleh Ahmad Fauzi. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment