My Add

Wednesday, 16 October 2013

Golongan profesional juga terlibat dadah

 *MOHD. Yunus Pathi (tengah) beramah mesra dengan tetamu dalam Majlis Ibadah Korban Hari Raya Aidiladha di Rumah Pengasih, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan penyanyi Jamal Abdillah (dua dari kiri).
KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Oktober, 2013: Golongan profesional merupakan antara yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling intensif bagi merawat ketagihan melibatkan najis dadah.

Pengarah Bahagian Kaunseling dan Unit Latihan Pengasih Malaysia, Hafizi Harun berkata, program baharu yang diperkenalkan sejak Januari lalu itu memberi fokus kepada mereka yang memiliki pekerjaan tetap tetapi menghadapi kekangan masa ekoran kesibukan, namun mempunyai masalah pergantungan terhadap bahan sampingan terlarang.

Katanya, dadah sintetik seperti syabu menjadi pilihan golongan tersebut yang mempercayai kesan pengambilannya memberi tenaga dan keyakinan kepada seseorang.

Bagaimanapun, kata beliau, apabila individu itu berhenti daripada mengambil bahan tersebut, emosi mereka akan terganggu dan kebingungan.

"Ramai tidak mengetahui profesion seperti pensyarah, jurutera, doktor dan sebagainya juga tidak terkecuali daripada terlibat dalam gejala kurang sihat seperti pengambilan syabu.

"Selain 'sifat kekang' dalam diri, saingan yang tinggi dalam pekerjaan merupakan antara punca golongan tersebut tertekan lalu melibatkan diri dengan dadah," katanya ketika ditemui dalam Majlis Ibadah Korban Hari Raya Aidiladha anjuran Pengasih Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Pengasih, Datuk Mohd. Yunus Pathi.

Hafizi merupakan seorang kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia dan juga Kaunselor Penagihan Dadah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menerusi perkhidmatan tersebut, individu terbabit akan menerima rawatan antara dua dan tiga kali seminggu atau lapan sesi sebulan.

"Antara program rawatan tersebut adalah kaunseling, pendidikan psikologi dan konsultasi keluarga," jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Yunus berkata, program kaunseling tersebut sangat proaktif kerana dapat membantu klien mendapatkan rawatan untuk mengekalkan kehidupan bebas dadah.

"Pengagihan terhadap dadah boleh diatasi dengan menghadiri sesi kaunseling dan sesi kelompok bantu.

"Lebih menarik, Hafizi yang merupakan kaunselor perkhidmatan tersebut juga merupakan bekas penagih dadah yang sudah pulih. Jadi, rawatan akan lebih berkesan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment