My Add

Wednesday, 16 October 2013

'Bank Tanah' kawal kenaikan harga rumah

 *ABANG Johari Tun Openg (kanan) mengagihkan daging korban kepada sebahagian daripada wanita kurang berkemampuan pada majlis korban di Masjid Darul Naim, Kampung Lintang, Kuching, semalam. Turut bersama, ADUN Samariang, Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali (dua dari kanan).
KUCHING, SELASA, 15 Oktober, 2013: Konsep 'bank tanah' merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi mengekang kenaikan harga rumah secara mendadak bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Perumahan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, menerusi konsep itu, kerajaan negeri akan membeli tanah di lokasi strategik sebelum membangunkan projek perumahan rakyat di situ.

Setakat ini kata beliau, Sarawak merupakan negeri tunggal yang mengeluarkan dana sendiri bagi tujuan tersebut.

"Peningkatan harga rumah sekarang dilihat tidak selari dengan pendapatan rakyat, malah kos sara hidup juga meningkat.

"Jadi kerajaan negeri memutuskan untuk mengawal harga tanah di negeri ini menerusi konsep bank tanah supaya tidak dimanipulasi mana-mana pihak sehingga berlakunya kenaikan harga rumah yang tidak masuk akal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan tujuh ekor lembu korban sumbangan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Samariang serta Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Lintang di Masjid Darul Naim di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, konsep bank tanah itu turut mendapat pengiktirafan kerajaan Persekutuan yang mahu menjadikannya sebagai model pembangunan projek perumahan rakyat di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Kementerian Perumahan negeri sedang merangka satu dasar baharu bersama sektor swasta bagi menangani isu pasaran hartanah di Sarawak.

"Buat masa ini, saya tidak boleh dedahkan. Saya cuma boleh dedahkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment