My Add

Wednesday, 16 October 2013

Siaran langsung prosiding PAC mampu elak salah tafsir

KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Oktober, 2013: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sekali lagi mendesak prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disiarkan secara langsung di televisyen bagi mengelakkan salah tafsir rakyat berhubung sesuatu isu.

Malah, beliau turut menyatakan kesediaan untuk memulakan cadangan itu dengan menyiarkan prosiding PAC membabitkan dirinya berhubung isu RM1.6 juta untuk bayaran artis K-Pop.

"Saya terbuka untuk menjelaskan isu berhubung integriti dan amanah yang dipikul semasa saya menjadi Menteri Belia dan Sukan dahulu.

"Saya tidak pasti sama ada perkara ini bercanggah dengan peraturan tetapi saya telah memohon kepada Dewan Rakyat dan diharapkan perkara ini akan dapat dilaksanakan," katanya ketika ditemui dalam majlis korban anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Aidiladha di Angkasapuri hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 sebelum ini mendedahkan kementerian tersebut membelanjakan RM2.94 juta untuk Hari Belia Negara 2012, termasuk RM1.6 juta bagi bayaran artis K-Pop dari Korea sempena Himpunan Jutaan Belia 2012.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery memberitahu, RTM bersedia untuk menyiarkan prosiding PAC secara langsung sekiranya dibenarkan.

Jelasnya, langkah tersebut dilihat mampu menepis persepsi negatif rakyat selain mempertingkatkan integriti jawatankuasa itu.

"Mungkin ada perkara melibatkan perbincangan yang memakan masa lama tidak dapat disimpulkan dengan hanya kenyataan beberapa minit oleh Pengerusi PAC.

"Dengan menyiarkan prosiding itu, rakyat akan dapat melihat sendiri ketelusan kerajaan dalam menyelesaikan satu-satu kes," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment