'Iklankan' perkahwinan agar tidak undang fitnah - Mufti Selangor
KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Oktober, 2013: Tindakan pasangan Islam menyembunyikan perkahwinan tidak menyelesaikan apa-apa masalah, sebaliknya mengundang fitnah yang boleh menjejaskan maruah diri dan keluarga, kata Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid.
Menurutnya, Islam mewajibkan pasangan yang telah bernikah mengikut syarak agar 'mengiklankan' perkahwinan mereka bagi mengelakkan sebarang masalah timbul terutama membabitkan pertikaian berkaitan nasab zuriat (status anak untuk didaftarkan dengan nama ayah).
"Pasangan Islam diwajibkan menguar-uarkan perkahwinan dan tindakan menyembunyikan perkara baik itu boleh mengundang syak-wasangka yang bukan sahaja menjejaskan maruah diri dan keluarga, tetapi menimbulkan pertikaian berkaitan nasab zuriat pada masa depan," katanya kepada Utusan Malaysia.
Kebelakangan ini trend pasangan Islam khususnya dalam kalangan artis menyembunyikan perkahwinan semakin menjadi-jadi dan terbaharu, pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal dalam sidang akhbar semalam membuat pengakuan telah bernikah dua kali setelah beberapa kali cuba menafikannya baru-baru ini.
Aeril Zafrel atau nama sebenarnya Suhairil Suhari dan Wawa (Nur Hawa Zainal Abidin) mengakui telah bernikah pada 25 Februari 2012 mengikut undang-undang Islam, namun setelah Wawa disahkan hamil Disember pada tahun sama, mereka bernikah sekali lagi pada 5 Februari 2013 atas permintaan keluarga pihak perempuan, selain perkahwinan terdahulu tidak sah di sisi undang-undang Islam.
Sebelum itu, teka-teki status pernikahan pelakon Bront Palarae dengan pasangannya pada 31 Ogos lalu terjawab apabila pemenang trofi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 menerusi wataknya dalam filem Belukar membuat pengakuan September lalu.
Sementara itu, Mohd. Tamyes berkata, tidak ada tegahan untuk mengulangi akad nikah yang sah dari segi syarak sama ada untuk tujuan pengisytiharan, memenuhi prosedur rasmi atau sebagainya.
"Ijab kabul kedua adalah bagi memenuhi keperluan undang-undang di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam untuk membolehkan sijil perakuan nikah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama.
"Enakmen ini bagi mengkanunkan peruntukan-peruntukan tertentu Undang-Undang Keluarga Islam tentang perkahwinan, perceraian, nafkah, penjagaan dan lain-lain berhubungan dengan kehidupan keluarga," katanya.
Jelasnya, biarpun ijab kabul pertama memenuhi syarat Rukun Nikah adalah sah, namun perundangan Islam di bawah enakmen itu tidak mengiktiraf perkahwinan tersebut melainkan dengan kehadiran Penolong Pendaftar Nikah yang bertanggungjawab menguruskan sijil perakuan nikah. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment