Bajet 2014: SBM suarakan harapan komuniti OKU
KUALA LUMPUR, SELASA, 15 Oktober, 2013: Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) menyuarakan harapan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) agar kerajaan prihatin dan memandang serius sosioekonomi golongan itu dalam Bajet 2014 yang akan dibentangkan nanti.
Presidennya, Mohammed Nazari Othman berkata, OKU mampu menyumbang kepada pembangunan negara tetapi masih tidak diberi peluang sepenuhnya oleh masyarakat berikutan kekurangan infrastruktur dan majikan tidak sanggup mengambil OKU bekerja.
"SBM mencadangkan kerajaan memberi pelepasan cukai pendapatan sebanyak tiga kali ganda kepada majikan yang mengupah OKU bertujuan menggalakkan pihak majikan proaktif menggaji OKU bekerja dan seterusnya mengurangkan beban kos yang terpaksa ditanggung majikan untuk membeli alat bantuan sokongan OKU bekerja.
"Kami juga ingin mengusulkan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada Tabung Pembangunan Usahawan dan menghidupkan kembali agensi pemasaran di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh OKU supaya masalah pengangguran dapat dikurangkan serta mampu memperoleh pendapatan sendiri," katanya di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Mohammed Nazari juga mencadangkan supaya OKU turut diberi Skim Perlindungan Insurans Perubatan dan Nyawa secara percuma seperti yang diperoleh pemandu teksi dan nelayan di negara ini.
"Kebanyakan OKU adalah golongan berpendapatan rendah dan dengan adanya faedah kepakaran kesihatan percuma yang menyeluruh akan meningkatkan taraf kesihatan mereka," katanya.
Beliau menambah, SBM mahu OKU terlibat aktif dalam masyarakat agar mereka tidak berasa terpinggir dan usaha kerajaan membantu golongan ini akan memberi kualiti hidup yang lebih sempurna sama seperti ahli masyarakat yang lain.
Sehubungan itu, beliau berharap segala cadangan yang diusulkan dapat dipertimbangkan dalam Bajet 2014 nanti dan dilaksanakan sewajarnya agar kepentingan OKU sentiasa dilindungi serta tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan negara. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment