My Add

Monday 25 March 2013

Ahli UMNO perlu aktif

BERA, AHAD, 24 Ma, 2013: Seluruh jentera UMNO perlu bekerja keras untuk menyakinkan rakyat bahawa Barisan Nasional (BN) merupakan satu-satunya parti yang mampu membangun dan mengekalkan keamanan negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat tidak boleh dibiarkan terpengaruh dengan dakyah pembangkang kerana tindak-tanduk pemimpin mereka sangat meragukan apabila sanggup melakukan apa sahaja termasuk yang melibatkan maruah negara demi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, untuk itu semua jentera UMNO dan parti komponen BN perlu bersatu dan mengenepikan sebarang perbezaan pendapat bagi memastikan kemenangan calon BN.

“Pilihan raya kali ini adalah yang paling sengit kerana kita terpaksa berdepan dengan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai agenda mereka untuk menang pilihan raya walaupun yang melibatkan soal keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Gelombang Biru dan Jentera Pilihan Raya Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bera di Laman Kerayong di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera memberitahu, kesemua cawangan UMNO dan komponen BN di kawasan Parlimen Bera sudah membuka bilik gerakan masing-masing.

Jelasnya, ini menunjukkan jentera parti di Bera sudah dalam keadaan bersiap bersedia dan hanya menantikan masa untuk menghadapi pilihan raya.

“Yang penting kita perlu bersatu demi kemenangan calon BN. Sekarang ini kita ketepikan sebarang perasaan tidak puas hati terhadap apa sahaja perkara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment