My Add

Wednesday 27 March 2013

Dana pencen pekerja badan berkanun diasing saraan

 *NAJIB Tun Razak dikerumuni kakitangan tujuh Badan-Badan Berkanun yang
 Diasingkan Saraannya (BBDS) semasa menghadiri Perhimpunan Perdana
 bersama BBDS di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala
 Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD AZIM ABD RAHMAN

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD 
KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kira-kira 40,000 pegawai dan kakitangan tujuh Badan-badan Berkanun yang Diasingkan Saraannya (BBDS) bakal menerima pencen apabila bersara ekoran persetujuan kerajaan menubuhkan dana pencen untuk mereka.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tiga lagi berita baik kepada kumpulan pekerja terbabit dalam usaha menambah baik skim perkhidmatan sedia ada iaitu bersetuju memberikan imbuhan tetap perumahan, sagu hati persaraan serta penyelarasan caruman majikan untuk semua agensi.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan dana pencen berkenaan beliau berkata, jumlah potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibuat setiap bulan akan dibahagi kepada dua.

''Sebahagian dikekalkan untuk dicarum ke dalam simpanan KWSP manakala sebahagian lagi akan dicarumkan ke dana pencen yang akan ditubuhkan.

''Kerajaan juga bersetuju agar kakitangan Badan-badan Berkanun yang Diasingkan Saraannya diberikan Imbuhan Tetap Perumahan sebagaimana yang dinikmati penjawat awam,'' katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Perdana bersama tujuh BBDS di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman dan Pengerusi Persatuan BBDS, Azman Yaakob.

Keempat-empat pengumuman itu cukup menggembirakan 5,000 pegawai serta kakitangan BBDS yang hadir dalam majlis tersebut sehingga Dewan Merdeka gamat dengan tepukan serta sorakan mereka.

Tujuh badan berkanun terbabit ialah Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bank Simpanan Nasional (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengenai pemberian sagu hati, Najib berkata, pemberian itu berbentuk gratuiti kepada kakitangan BBDS setelah menamatkan perkhidmatan mereka.

Berhubung langkah menyelaraskan caruman majikan kepada simpanan KWSP pekerja untuk semua agensi pula beliau berkata: ''Semakin lama seseorang pekerja itu berkhidmat di agensi tersebut, maka semakin tinggilah caruman KWSP majikan kepadanya''.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia ada bukannya kerajaan yang melakukan sesuatu semata-mata untuk menjadi popular sebaliknya apa jua pemberian serta bantuan kepada rakyat dilakukan secara bertanggungjawab serta berhemat.

Atas sebab itu katanya, kerajaan mengambil langkah memakmurkan ekonomi terlebih dahulu supaya usaha untuk mensejahterakan kehidupan berjalan dengan baik.

''Apabila ekonomi negara makmur segala kekayaan yang kita kecapi akan kita kongsikan bersama seperti mana pengumuman hari ini. Alhamdulillah pertumbuhan ekonomi kita amat baik.

''Dalam keadaan negara-negara seperti di Eropah bergelut dengan masalah ekonomi, Malaysia pada tahun lalu masih berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang cukup baik iaitu 5.6 peratus,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment