My Add

Tuesday 5 March 2013

Individu sumbang RM10,000 untuk keluarga polis terkorban di Sabah

MELAKA, ISNIN, 04 Mac, 2013: Seorang individu yang prihatin menyumbang RM10,000 kepada keluarga perwira negara yang terkorban ketika mempertahankan negara daripada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Luwe Sang Kau, 65, dari Bukit Katil menyampaikan sumbangan itu kepada Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini, hari ini.

"Jasa yang telah dilakukan ini adalah amat besar kerana perwira negara ini sanggup bergadai nyawa demi keamanan negara, kalau tidak ada askar dan polis, saya mungkin tidak ada di sini hari ini," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Sumbangan ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan pengorbanan anggota pasukan keselamatan kita dalam menjaga keamanan negara, kata Luwe yang juga pengerusi kepada beberapa syarikat pemaju perumahan.

Beliau yang pernah menetap di Lahad Datuk selama enam tahun sejak 1986, berkata sebagai rakyat Malaysia, bantuan seumpama itu sangat bermakna kepada keluarga mangsa dalam meringankan beban dan kesedihan yang ditanggung.

Pada majlis sama, Persatuan Kepolisan Masyarakat Melaka turut menyumbangkan derma kilat berjumlah RM600 yang disampaikan Ketua Cawangannya Lee Kam Hua.

Sementara itu, Chuah berkata, sumbangan kedua-dua pihak itu akan disalurkan ke Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia untuk diagihkan kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden berdarah di Sabah. 

Pada masa sama beliau turut mengingatkan rakyat negara ini supaya berdiri teguh di belakang anggota keselamatan negara yang ditugaskan di Sabah dan tidak mendengar khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment