My Add

Tuesday 19 March 2013

Jabatan Air Lahad Datu buat catuan air

LAHAD DATU, SELASAA, 19 Mac, 2013: Jabatan Air Lahad Datu terpaksa membuat catuan air bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan, khususnya di kawasan yang mempunyai tekanan air rendah di sekitar pekan, sejak awal bulan ini.

Juruteranya, Samsul Bahriy Marullah menjelaskan masalah itu berikutan paras air Sungai Sepagaya di sini, yang menjadi punca bekalan air di pekan Lahad Datu, semakin surut berikutan musim kemarau.

"Sungai Sepagaya semakin cetek. Pada 1 Mac lalu, paras air sungai ialah 2.5 meter dan paras air menurun kepada 1.8 meter semasa mengambil bacaan semalam.

Kami terpaksa mencatu air, antaranya ialah menghantar lori air setiap hari ke kawasan yang mempunyai tekanan air yang sangat rendah, terutamanya di Jalan Tengah Nipah, dan menutup injap bekalan air pada waktu malam," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Samsul Bahriy berkata, kira-kira 2,000 pengguna terjejas dan Jabatan Air Daerah hanya mampu membekalkan 58 juta liter sehari (mld) daripada 62 mld sebelum musim kemarau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sepanjang tahun lalu, Jabatan Air Daerah mengeluarkan 91 kompaun, yang membabitkan pelbagai kesalahan seperti curi bekalan air dan penyambungan haram bernilai RM47,100.

Katanya, jabatan itu mengenal pasti 294 penyambungan haram di kawasan setinggan dalam tempoh sama. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment