My Add

Wednesday 13 March 2013

Jangan perlekeh kemampuan pasukan keselamatan negara - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, RABU, 13 Mac, 2013: Rakyat diingatkan supaya tidak sesekali memperlekeh atau memperkecil kemampuan pasukan keselamatan yang sedang berjuang menentang pengganas Sulu dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat sebaliknya perlu bersatu memberi sokongan moral kepada pasukan keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara.

"Inilah masa dan ketika paling sesuai untuk rakyat bersatu padu bersama-sama memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan keselamatan negara.

"Pasukan keselamatan kita sedang berusaha menghapuskan penceroboh militan ini di Sabah, jadi saya harap kita ketepikan perbezaan pendapat serta politik di kalangan kita kerana ini soal pertahanan dan keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiar secara langsung dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, dekat sini.

Ahmad Zahid bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di pangkalan udara itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada dua perajurit negara iaitu Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dan Ahmad Farhan Roslan, 21, yang terkorban dalam Operasi Daulat di Lahad Datu semalam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment