My Add

Friday 8 March 2013

Kakitangan Kuin terus perjuangkan hak

JERAI, JUMAAT, 08 Mac, 2013: Tekanan dari pelbagai sudut termasuk diberi surat tunjuk sebab tidak melunturkan semangat kakitangan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) untuk meneruskan perjuangan bagi mendapatkan semula hak dan kebajikan mereka dengan menganjurkan forum penerangan isu kolej universiti berkenaan buat kali kedua malam tadi.

Forum Pentas Bersih Kuin 2.0 di Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Padang Lumat di sini mendapat sambutan apabila dihadiri lebih 300 orang awam, kakitangan Kuin dan warga sekolah berkenaan.

Forum selama lebih dua jam bermula pukul 9.30 malam itu menampilkan dua panel yang memberikan penjelasan berhubung isu melibatkan institusi pengajian tinggi di bawah Kerajaan Pas Kedah dengan menyertakan fakta dan bukti.

Mereka ialah Penolong Pendaftar Kanan Kuliah Usuluddin, Mohd. Baihaqi Hassan dan Penolong Pendaftar Kanan Kuliah Syariah Kuin, Muhammad Azki Hafizi Ibrahim yang telah berkhidmat selama 11 tahun dengan kolej universiti berkenaan manakala Penolong Pegawai Tadbir Kanan Kuin, Asri Abdul selaku moderator.

Muhammad Azki berkata, penjelasan yang mereka berikan itu bagi membolehkan masyarakat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai wakil rakyat mendapat maklumat yang betul dan benar berhubung isu yang melanda Kuin.

Katanya, tindakan menuntut hak daripada pengurusan tertinggi Kuin tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi atau kaitan dengan mana-mana parti politik.

''Sangkal penjelasan kami dengan hujah dan fakta, bukan menuduh kami agen UMNO atau meminta keluar dari Kuin. Saman saya kalau fakta saya salah,'' katanya.

Dalam Pentas Bersih Kuin yang pertama di Jalan Suka Menanti di Alor Setar pada 28 Februari lalu, mereka mengemukakan tujuh tuntutan termasuk mahu Pengerusi Kuin, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Rektor, Prof. Datuk Dr. Jamil Osman dipecat.

Tuntutan lain ialah Insaniah Holding dan anak syarikat lain ditutup, menerima pakai pekeliling perkhidmatan awam dengan membayar tunggakan kenaikan gaji 13 peratus kepada kakitangan dan memberhentikan kakitangan akademik luar negara yang bermasalah.

Tiga lagi tuntutan ialah Kuin perlu membayar tunggakan pinjaman kakitangan ke bank dan pihak ketiga, menutup program yang tiada pelajar dan mengembalikan pentadbiran kuliah ditadbir Insaniah Holding kepada Kuin.

Sehingga kini, seramai 10 kakitangan Kuin menerima surat tunjuk sebab daripada pengurusan kolej berkenaan susulan desakan dibuat mereka berhubung isu di institusi pengajian terbabit bagi memperjuangkan hak dan kebajikan mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment