My Add

Sunday 17 March 2013

Kerajaan sokong penubuhan Satria Muda

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
PULAU PINANG, SABTU, 16 Mac, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memberi sokongan padu kepada penubuhan Satria Muda Negara oleh Majlis Pendekar Malaysia (MPM).

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melihat Generasi Y bersama-sama terlibat mengembangkan seni mempertahankan diri berkenaan.

"MPM menjadi satu payung yang menyatupadukan semua pengamal seni pertahanan diri di negara ini.

"Ia bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang diasaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat penyatuan rakyat," katanya dalam majlis Pelancaran Satria Muda di Penang Times Square di sini malam ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Presiden MPM, Tan Sri Omardin Mauju.

Menurut Muhyiddin, nilai murni dan disiplin yang tersemai dalam kalangan pengamal seni mempertahankan diri itu mampu menjadi benteng kukuh pertahanan negara dari ancaman musuh.

"Semangat dan penyatuan yang wujud ini selaras dengan visi dan misi kerajaan yang mahu melihat keamanan negara dipertahankan.

"Saya percaya, pendekar sejati memahami falsafah seni pertahanan diri secara mendalam dan memainkan peranan penting untuk memastikan seni ini terus berkembang," katanya.

Dalam majlis berkenaan, Utusan Malaysia turut menerima sijil penghargaan berikutan sumbangan menjayakan pelancaran penubuhan Satria Muda Negara Pulau Pinang tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment