My Add

Sunday 17 March 2013

Khairy saran RCI ditubuh hanya setelah isu keselamatan Sabah selesai

MELAKA, SABTU, 16 Mac, 2013: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin menyarankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dalang pencerobohan di Sabah hanya dilakukan selepas isu keselamatan di kawasan itu selesai sepenuhnya.

"Sekarang ini saya rasa terlalu awal untuk kita buat sebarang siasatan, yang penting sekarang ini kita menyokong usaha pasukan keselamatan untuk menyelesaikan tugas mereka.

"Yang minta diadakan siasatan datang daripada pihak yang banyak mempertikaikan apa yang sedang berlaku," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran 'BN Pilihan Orang Muda' serta jentera Pemuda dan Puteri negeri Melaka yang dilakukan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini, hari ini.

Khairy diminta mengulas gesaan pelbagai pihak yang mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dalang sebenar pencerobohan pengganas dari Sulu berkenaan.

Sementara itu, Mohd. Ali berkata, sokongan golongan muda terhadap BN khususnya di Melaka, dilihat semakin meningkat dan mampu memberikan kemenangan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya, golongan muda mahukan parti politik yang mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan harmoni serta maju bagi menjamin masa depan mereka.

"Ini hanya mampu dilakukan oleh BN dan bukannya parti pembangkang yang melakukan perkara-perkara luar kebiasaan seperti demonstrasi jalanan yang menimbulkan suasana tegang," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment