My Add

Thursday 14 March 2013

Operasi kilang penapisan minyak sawit di FELDA Sahabat tidak terjejas

LAHAD DATU, KHAMIS, 14 Mac, 2013: Eksport minyak sawit yang diproses di loji penapisan di FELDA Sahabat tidak terjejas berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo yang berhampiran, kata Pengurus Kawasan Felda Transport Services Sdn Bhd, Sukirman Muhtar.

Beliau berkata, operasi kilang berkenaan masih berjalan seperti biasa termasuk aktiviti mengeksport minyak sawit ke pasaran antarabangsa.

"Langkah pihak keselamatan yang memperketatkan kawalan berjaya meningkatkan keyakinan para peniaga. Operasi kami masih berjalan seperti biasa dan pekerja menjalankan kerja juga seperti biasa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kilang penapisan minyak sawit mentah yang terletak di FELDA Sahabat 16 di sini juga berhampiran dengan kawasan Operasi Daulat, iaitu kira-kira 16 kilometer, katanya.

"Kapal tangki pertama untuk hari ini, Bungan Allium, berlabuh di jeti FELDA Sahabat 16 pada pagi tadi untuk mengambil minyak sawit mentah yang sudah diproses untuk penghantaran ke Pakistan," katanya.

Sukirman berkata, dalam tempoh sebulan, lapan kapal tangki berlabuh di jeti itu untuk mengambil minyak sawit mentah dan setiap kapal tangki mampu membawa muatan sebanyak 35,000 metrik tan bergantung kepada saiz kapal.

"Jika kapal kargo, maksimum dia boleh bawa adalah 25,000 metrik tan," katanya.
Selain ke Pakistan, minyak sawit mentah turut dieksport ke negara lain seperti China, Taiwan dan Amerika Syarikat, katanya.

Beliau berkata, kali terakhir jeti berkenaan beroperasi adalah pada 23 Februari lalu dan kemudiannya ditutup berikutan krisis pencerobohan pengganas militan dari Selatan Filipina sejak 12 Februari lalu.

Katanya, ejen perkapalan yang bimbang dengan kejadian itu mengalihkan operasi mengambil minyak sawit mentah ke pelabuhan Sandakan.

Pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh dan 25 daripada mayat penceroboh militan itu berjaya dibawa keluar dari zon merah.

Sehingga kini 10 anggota pasukan keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua tentera. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment