My Add

Thursday 14 March 2013

RM120 juta untuk baik pulih rumah pam air di Selangor: SPAN

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Mac, 2013: Peruntukan RM120 juta daripada kerajaan Persekutuan diumumkan baru-baru ini adalah untuk membaik pulih beberapa loji dan rumah pengepaman air sedia ada di Selangor dan bukan untuk menyelamatkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pengerusi SPAN, Datuk Ismail Kassim, berkata kerja-kerja menaik taraf sistem dijalankan di 11 rumah pam di negeri itu yang kali terakhir dibaik pulih pada tahun-tahun 70-an dan 80-an yang asalnya mampu mengendalikan operasi dalam tempoh 12 jam sehari tetapi disebabkan oleh pembangunan pesat, pengoperasian terpaksa dijalankan melebihi 22 jam sehari.

"Ini bermakna sistem yang ada tidak mampu lagi menampung keperluan-keperluan air yang ada, sama ada keperluan domestik ataupun perindustrian. Jadi tidak timbul peruntukan untuk menyelamatkan SYABAS sebab jumlah ini sebenarnya kecil. Daripada segi modal perbelanjaan (capex) pun sentiasa dibantu. Jadi tanggapan yang mengatakan ini adalah peruntukan menyelamatkan SYABAS adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Ismail berkata demikian sebagai menolak tuduhan pihak pembangkang berikutan pengumuman peruntukan berkenaan Januari lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ismail juga menjelaskan panjang lebar mengenai capex dan perbezaan isu ini di negeri Selangor dan negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang yang berhijrah ke rejim baharu industri air iaitu capex ditanggung oleh kerajaan Persekutuan menerusi Permodalan Aset Air Berhad (PAAB).

"Selagi tidak membuat penghijrahan, kuasa capex dan lain-lain masih di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan ini cuma berlaku di Selangor. Dia agak lain, sebab ada perjanjian konsesi antara kerajaan negeri dan SYABAS. Di negeri-negeri lain cuma yang diswastakan adalah di peringkat loji rawatan tetapi di peringkat 'delivery' atau pengedaran adalah dikawal oleh syarikat-syarikat kerajaan negeri," katanya.

Sebagai contoh, di Pulau Pinang, Syarikat Air Pulau Pinang mengawal semua soal pengedaran dan di Johor terdapat loji rawatan yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat swasta tetapi pengedaran semuanya dikawal sepenuhnya oleh Syarikat Air Johor.
Ismail berkata, oleh kerana penghijrahan itu belum berlaku di Selangor, di atas kertas soal capex masih lagi di bawah kuasa kerajaan Selangor dan dalam keadaan sekarang perkara yang terpenting ialah Selangor perlu berhijrah ke rejim air yang baru itu.

Beliau juga berkata dalam keadaan masalah air yang dihadapi di Selangor dan kawasan-kawasan persekitaran seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya, seperti gangguan bekalan air yang melanda beberapa kawasan di Pandan dan Ampang Januari lepas, langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri ialah dengan meluluskan projek pembinaan loji rawatan air Langat 2.

Projek ini dibuat untuk jangka panjang mengambil kira 20 tahun ke hadapan kerana Selangor adalah pusat pembangunan terpesat negara yang tumbuh setiap hari dengan permohonan bekalan air bagi projek-projek pembangunan perumahan dan perkilangan.

"Sebab itu ada di antara projek-projek yang kita tidak dapat luluskan sekarang ini kerana masalah ketidakcukupan bekalan. Kenapa air tidak cukup? Kalau air di empangan melimpah sekali pun, kapasiti loji rawatan hanya sebanyak itu. Kita boleh membuat rawatan yang berlebihan atau overtreated, kalau loji itu hanya berupaya dua juta liter sehari tetapi kita overtreated empat juta atau 400 juta contohnya, apa akan jadi?

"Jika kita overtreated, air yang diminum adalah tidak bersih, tidak hygienic dan masih ada virus atau bakteria-bakteria dalam air berkenaan. Kita nak mencapai sekurang-kurangnya ke tahap air minum macam berlaku di negara-negara maju, kita boleh buka paip dan kita boleh terus minum air itu. Tetapi di negara kita masih belum sampai ke tahap itu," katanya.

Ismail juga berkata, SPAN sebagai badan kawalselia industri air negara tidak ada kaitan dengan Syabas dan kalau syarikat itu tidak menjalankan operasinya dengan betul, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang.

"Ini termasuk mengawal perlesenan, membuat pemantauan harian kepada tiap-tiap pengeluaran yang berlaku untuk memastikan semua air yang terawat adalah selamat digunakan oleh pengguna-pengguna".

Bagaimanapun, beliau berkata pemantauan SPAN yang dijalankan secara berterusan menunjukkan prestasi Syabas adalah berada di tahap yang baik daripada segi produktiviti, cara kerja dan urusan akaun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment