My Add

Sunday, 17 March 2013

Semakin ramai rakyat Selangor sedar hak janji manifesto

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
KUALA LUMPUR, SABTU, 16 Mac, 2013: Tindakan kira-kira 30,000 rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat di sekitar Selangor mengemukakan tuntutan saman terhadap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjumlah melebihi RM20 juta disifatkan sebagai bijak dan berasas.

Peguam yang mewakili kelompok rakyat tersebut, Kamarudin Ahmad berkata, tindakan yang diambil itu sekali gus menghantar mesej jelas kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa rakyat mahukan janji-janji dalam manifesto 2008 ditunaikan.

Menurut beliau, tuntutan saman tersebut merupakan hak rakyat yang boleh dilakukan dalam bentuk litigasi kepentingan awam.

"Rakyat perlu sedar bahawa manifesto pilihan raya adalah satu janji yang perlu ditunaikan oleh mana-mana pemimpin kerana mewujudkan harapan kepada rakyat," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Taklimat Tuntutan Hak Rakyat Air Percuma, Elaun Ibu Tunggal, Takaful Warga Emas, Bantuan Kanak-kanak Tadika dan Potongan Cukai Pintu di Ampang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Hishamuddin Muhamad, Pengerusi Persatuan Penduduk Pandan Perdana, Lim Ah Chai dan Ketua Biro Guaman MCA Bahagian Pandan, Lim Chin Yee.

Kamarudin berkata, sikap pemimpin yang hanya pandai menabur janji untuk meraih undi dalam pilihan raya umum tanpa ada niat menunaikannya adalah dianggap bahaya dan boleh membunuh harapan rakyat.

"Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu rakyat mendapatkan hak mereka. Ini terbukti apabila mahkamah tinggi menolak permohonan kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar, Abdul Khalid serta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) untuk mengetepikan saman oleh 711 pengguna air dan tuntutan elaun untuk ibu tunggal di negeri itu.

"Mana-mana parti politik dan kerajaan yang mentadbir dengan tidak adil akan dibawa ke muka pengadilan," ujarnya.

Jelas beliau, rakyat kini semakin sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk membuat tuntutan terhadap janji-janji yang gagal dilaksanakan.

"Saya lihat masyarakat Cina sekarang pun sudah sedar apabila mereka telah bangkit bersuara dan berani menuntut hak," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, tuntutan yang dilakukan tersebut akan difailkan melalui firma guaman, Tetuan Kamarudin & Partners.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata, saman tuntutan elaun suri rumah memilih untuk menjaga anak sepenuh masa dan potongan cukai pintu sebanyak 20 peratus akan dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam akhir bulan ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment