My Add

Sunday 3 March 2013

UUM lancar tabung bantu keluarga Allahyarham Zulkifli

ALOR SETAR, AHAD, 03 Mac, 2013: Universiti Utara Malaysia (UUM) melancarkan tabung bagi membantu keluarga Allahyarham ASP Zulkifli Mamat yang terkorban dalam insiden pertempuran di Lahad Datu, Sabah Jumaat lepas.

UUM dalam kenyataan di sini hari ini berkata, tabung itu dilancarkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang hadir di universiti itu ketika merasmikan Sukan Universiti Utara Malaysia (SUKUUM) 2013 di Kompleks Sukan UUM di Sintok malam tadi.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihak pengurusan tertinggi dan seluruh warga kerja serta mahasiswa universiti merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Zulkifli dan Sarjan Sabarudin Daud yang terkorban dalam insiden itu.

Katanya seluruh warga UUM menyatakan perasaan yang amat sedih atas kematian dua anggota Komando VAT 69 ini dan mendoakan semoga roh Allahyarham berdua dicucuri rahmat dan dihimpunkan dalam golongan orang yang beramal soleh.

"Sebagai menyatakan simpati kami dan warga UUM kepada keluarga pelajar kami ini maka UUM melancarkan Tabung Allahyarham Zulkifli Mamat - Perwira Negara pada malam tadi," kata Mohamed Mustafa.

Katanya Zulkifli, 30, yang terkorban dalam tragedi serangan di Kampung Tanduo, Lahad Datu Sabah adalah penuntut Program Sarjana Muda Komunikasi secara Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Pusat Pengajian PJJ UUM, Kota Baharu, Kelantan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment