My Add

Thursday, 30 May 2013

17 ahli MCA Gelang Patah letak jawatan, hormati resolusi parti

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Tujuh belas anggota MCA Bahagian Gelang Patah hari ini meletakkan jawatan dalam agensi pentadbiran kerajaan, berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusinya Jason Teoh berkata, mereka membabitkan tiga ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, lima ketua kampung, seorang pegawai kerajaan tempatan dan perumahan, dua pegawai kebajikan serta enam anggota lembaga pelawat Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail.

"Keputusan peletakan jawatan itu bagi menghormati resolusi MCA yang menetapkan tiada wakil parti itu dalam kerajaan berikutan prestasi buruk pada pilihan raya umum baru-baru ini.

"Kami terima keputusan pilihan raya itu dan akan mengikut resolusi berkenaan. Oleh itu, saya mengetuai rakan-rakan MCA yang memegang jawatan masing-masing untuk meletakkan jawatan secara keseluruhan," katanya kepada pemberita, di sini. 

Teoh berkata, Pusat Khidmat MCA Gelang Patah bagaimanapun tidak akan ditutup dan usaha membantu masyarakat tetap diteruskan.

Susulan peletakan jawatan itu juga beliau menasihatkan penduduk di Gelang Patah supaya mengadu masalah masing-masing kepada anggota parlimen mereka yang baru.

"Oleh kerana ketiadaan jawatan, mungkin kami akan mengalami masalah tertentu dan tidak secekap dulu. Kami akan rancang cara lain untuk mendekati penduduk Gelang Patah," katanya. 

Katanya, MCA Gelang Patah sudah bekerja keras dalam membantu masyarakat dengan kebanyakan isu sudah diselesaikan walaupun ada kes tertentu yang gagal memuaskan kehendak mereka. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment