Dua penumpang yang disangka hilang sebenarnya sihat dan selamat
KAPIT, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Dua lelaki yang disenaraikan sebagai antara penumpang yang hilang selepas sebuah bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga, kira-kira 155 kilometer dari sini Selasa lalu, sebenarnya masih hidup dan sudah pulang ke rumah panjang mereka, menurut seorang ahli keluarga.
Connie Menai memberitahu pemberita di sini, hari ini bapa saudaranya, Akong Empam, 50, dan sepupu, Hendry Linggi, 35, yang disenaraikan sebagai hilang susulan insiden itu kini berehat di rumah panjang mereka, Rumah Panjang Berundang, Nanga Ensawi, kira-kira dua jam perjalanan dengan bot menghulu sungai dari sini.
"Selepas mendengar nama mereka disebut menerusi siaran radio malam tadi sebagai antara penumpang yang hilang, saya datang ke sini bersama-sama suami untuk membuat laporan polis bagi memperjelaskan perkara sebenar," katanya ketika ditemui di ibu pejabat polis, di sini, hari ini.
Menurutnya kedua-dua lelaki itu memberitahunya mereka melompat dari bot ekspres 'Kawan Mas' yang semakin karam sebelum dihanyutkan arus deras sehingga kira-kira satu kilometer sebelum krew sebuah tongkang ternampak mereka lalu menghulurkan bantuan.
"Kira-kira tengah hari Selasa lalu baru mereka sampai di rumah panjang... letih, basah dan hanya memakai seluar dalam," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment