My Add

Thursday, 30 May 2013

Kelantan sedia jalin kerjasama bangunkan bandar perikanan Tok Bali

PASIR PUTEH, KHAMIS, 30 Mei, 2013: Kerajaan Kelantan memberi jaminan akan bekerjasama dengan agensi kerajaan pusat untuk membangunkan bandar baru perikanan Tok Bali, terutama berkaitan urusan pembangunan dan pembesaran pelabuhan sedia ada.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata dalam tempoh terdekat, negeri itu memerlukan sebuah pelabuhan yang mampu mengeksport hasil pertanian seperti getah dan kelapa sawit ke negara terdekat seperti Thailand dan Vietnam.

"Kita akan beri kerjasama terutama kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan untuk merealisasikan hasrat itu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Persijilan ISO 9001:2008 kepada syarikat Eastcoast Terminal Sdn Bhd yang beroperasi di Tok Bali di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Wan Ahmad Zahid Wan Mohamad.

Ahmad berkata, pembesaran pelabuhan itu penting untuk menjana ekonomi negeri yang selama ini banyak bergantung kepada Pelabuhan Klang untuk mengeksport barangan ke luar negara.

“Selain menjimatkan kos pengangkutan, ia juga dapat menarik minat pelabur asing untuk melabur di negeri itu,” katanya. 

Sementara itu, Wan Ahmad Zahid berkata, pihaknya bercadang memperluas skop operasi bertujuan menjadikan pelabuhan itu sebagai pusat pembekalan penghantaran barang-barang keperluan asas untuk pelantar minyak yang beroperasi di Laut China Selatan, tahun ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha menjadikan pelabuhan itu antara yang terbesar di rantau ini akan tercapai jika hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan dapat ditingkatkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment