Muhyiddin Yassin |
Beliau berkata bukti kelangsungan sukan sebagai alat penyatuan dapat disaksikan menerusi sokongan padu yang sentiasa diberi segenap lapisan masyarakat ketika atlet negara berjuang mengharumkan nama negara di kejohanan peringkat kebangsaan mahupun di luar negara.
Tegasnya, sukan merupakan medium penting dalam usaha merealisasikan matlamat dan wawasan negara selain membina sebuah masyarakat yang cergas dan berdaya maju.
"Atas dasar kepentingan itu, maka kerajaan komited dalam memastikan kemajuan sukan di negara ini diberi keutamaan," katanya ketika berucap merasmikan Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 di Stadium Mini Bukit Jalil di sini.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata kerajaan akan terus meluaskan inisiatif dengan menyediakan landasan penyertaan untuk mengenal pasti lebih ramai atlet muda yang berbakat dan berpotensi untuk mewakili negara pada kejohanan di peringkat antarabangsa pada masa depan.
Katanya, kementerian itu turut sama terlibat dalam mempertingkatkan usaha melahirkan lebih ramai pelajar yang bergiat aktif dalam aktiviti sukan, antaranya program Satu Murid Satu Sukan yang diperkenalkan pada 2011.
"Kementerian Pendidikan sedang giat memastikan keberkesanan program ini terutama dalam menyediakan kemudahan dan peralatan latihan, jurulatih berkelayakan serta program latihan yang lebih berstruktur dan berkesinambungan," katanya.
Selain itu, Muhyiddin berkata usaha mengembangkan bakat sukan menerusi Sukma adalah pemangkin penting kepada pembangunan bakat-bakat sukan di negara ini.
Beliau bangga dengan penganjuran Sukma yang banyak menyumbang kepada lahirnya jaguh negara seperti pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei, pemain skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David dan jaguh berbasikal negara Mohd Azizul Hasni Awang.
Beliau berharap lebih banyak rekod kebangsaan, rekod Sukma mahupun catatan peribadi terbaik dapat dicipta oleh atlet dalam edisi Sukma kali ini.
"Saya berharap temasya kali ini akan dapat mencapai matlamat menyediakan satu tahap pertandingan yang bermutu tinggi dalam usaha menyediakan pendedahan yang secukupnya kepada atlet yang mengambil bahagian," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment