My Add

Friday, 28 June 2013

Tentera rampas 162,000 pil kuda RM4.8 juta di Rantau Panjang

KOTA BHARU, JUMAAT, 28 Jun: Sebanyak 162,000 biji pil kuda dianggar bernilai RM4.8 juta yang cuba diseludup masuk ke negara ini ditemui dalam dua beg plastik di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang, kelmarin.

Panglima Markas Lapan Briged Brig Jen Datuk Muhammad Zaki Hamzah berkata, penemuan dan rampasan dadah itu dilakukan dua anggota Rejimen Sempadan pada jam 10.30 malam ketika melakukan rondaan.

Dadah terbabit, katanya, dipercayai ditinggalkan dua lelaki warga asing yang kemudian melarikan diri dengan menaiki sampan di kawasan yang menjadi sempadan Kelantan dan Thailand itu.

Beliau ditemui selepas Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Angkatan Tentera Malaysia di sini, hari ini.

Muhammad Zaki berkata, rampasan itu adalah yang terbesar tahun ini dan kedua terbesar selepas rampasan tahun lalu yang membabitkan dadah bernilai RM8 juta.

Muhammad Zaki berkata, pil kuda yang dirampas itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Pada majlis itu, 83 anak pegawai dan anggota tentera daripada Markas Lapan Briged menerima sumbangan berjumlah lebih RM78,000 susulan pencapaian cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment