Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 4 petang.
Turut mengiringi Najib ke Dialog itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Kehadiran Malaysia pada dialog empat hari yang bertema 'Memanfaatkan Teknologi bagi Transformasi Sosioekonomi Afrika' menunjukkan komitmen negara bagi menangani isu antarabangsa terutamanya isu penting kepada benua Afrika.
Malah, kehadiran Najib juga akan membantu mengeratkan lagi hubungan antara Malaysia dan negara Afrika, selain meningkatkan hubungan dua hala dengan Tanzania.
Najib akan mengetuai lebih daripada 100 anggota delegasi dalam dialog itu.
Dialog Perkongsian Bestari Global dilancarkan pada 1995 semasa Malaysia menjadi hos Dialog Antarabangsa Langkawi (LID).
Dialog itu adalah platform untuk perkongsian pintar termasuk ketua kerajaan, ketua perniagaan, ahli sains, ahli akademik dan ketua pelajar untuk berjumpa dan bertukar idea serta pengalaman berhubung kait dengan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan bagaimana STI boleh digunakan untuk membawa transformasi sosioekonomi kepada benua Afrika. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment