5 usul MBM martabatkan pembangunan belia
KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini mengesyorkan lima usul kepada kerajaan dalam usaha memartabatkan pembangunan belia berkemahiran bagi mengisi keperluan tenaga mahir negara menjelang 2020.
Presidennya, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, cadangan itu dibuat bersama dengan Persekutuan Pusat-pusat Bertauliah Malaysia (Femac), Gabungan Kerjasama Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera dan Konsortium Penyedia Latihan Kemahiran Bumiputera Sabah.
Beliau yang mengemukakan usul itu pada sidang media di sini, bertujuan menggesa kerajaan memberi perhatian serius mengenai isu pekerja mahir terlatih dalam Belanjawan 2014 dan syor terbabit ialah:
* Menyusun semula pelan pembangunan latihan kemahiran dan melaksanakan segera langkah strategik melibatkan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) bermula tahun hadapan hingga 2020.
* Menggerakkan inisiatif 'Private-Public Partnership' (3P) antara ILKA dan ILKS serta pihak industri untuk menggandakan pengambilan pelatih kemahiran.
Namun pada masa yang sama turut menyediakan Indeks Prestasi Utama (KPI) supaya semua graduan mendapat akses pekerjaan dan pendapatan yang baik di peringkat 'post' latihan.
* Meningkatkan saiz dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) daripada RM300 juta setahun pada masa ini kepada RM1 bilion setahun bermula tahun depan dalam Belanjawan 2014 untuk menyediakan peluang latihan kepada kira-kira 100,000 pelatih baharu di ILKS dan sebahagian peminjam di ILKA.
* Meningkatkan fungsi dana dan inisiatif berkaitan seperti Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) dan lain-lain untuk menampung keperluan sasaran 300,000 pemegang sijil kemahiran setahun seterusnya mencapai sasaran 1.3 juta pekerja mahir terlatih menjelang 2020.
* Menyediakan insentif khas seperti pengurangan atau diskaun cukai kepada pihak swasta yang memberi komitmen tinggi terhadap latihan kemahiran dalam Belanjawan 2014.
"Memandangkan belia adalah enjin pembangunan ekonomi serta penentu landskap politik dan sosial negara pada masa depan, MBM memohon kerajaan untuk memberi perhatian serius terhadap syor-syor ini untuk dilaksanakan dalam Bajet 2014," katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Maliki berkata, pada masa ini kira-kira 70 perastus daripada 12 juta pekerja di negara ini adalah pekerja tidak mahir.
"Daripada 1.2 juta pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia, sehingga Mei 2013 hampir 80 peratus adalah pemegang Sijil Tahap 1 dan 2 yang dikategorikan berkemahiran rendah dengan pendapatan bawah RM2,000 dalam tempoh lima tahun selepas tamat latihan," katanya.
Beliau berkata, situasi itu menunjukkan kekurangan bilangan pekerja mahir berada pada tahap serius ketika ini.
Mohamed Maliki berkata, kerajaan merancang untuk menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan dengan sasaran 40 peratus daripada jumlah itu adalah dalam sektor teknikal dan vokasional, dalam usaha mengejar status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.
"Dalam tempoh enam tahun akan datang kerajaan sepatutnya menyediakan 300,000 pekerja mahir terlatih setiap tahun hingga 2020," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment