My Add

Wednesday 31 July 2013

Ancaman Syiah boleh gugat kestabilan politik negara

 
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Ideologi Syiah boleh membawa ancaman besar kepada kestabilan politik sesebuah negara apabila para pengikutnya dituntut mendapatkan kuasa pemerintahan hingga ke peringkat berlakunya pertumpahan darah.

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya (gambar) berkata, tuntutan itu terkandung di dalam prinsip pegangan mereka, selari dengan penambahan satu lagi rukun di dalam Rukun Islam yang lima iaitu al-Wilayah (penguasaan), selain menambah satu lagi surah dalam al-Quran yang juga dinamakan al-Wilayah.

Akibat tuntutan itu katanya, berlaku ancaman di kebanyakan negara seperti di Iraq dan buktinya dengan kejatuhan Saddam Hussein, peristiwa pertukaran Raja Bahrain dan sejarah revolusi Iran yang kesemuanya digerakkan oleh Syiah.

"Mereka masuk ke dalam sesebuah negara dan kemudian mengganggu kestabilan politik bagi mendapatkan kuasa dan dalam tempoh rampasan golongan tersebut akan menggerakkan provokasi, penipuan dan demonstrasi.

"Oleh itu, kita bimbang berlakunya beberapa siri demonstrasi di dalam negara ini kerana jika diperhatikan terdapatnya unsur-unsur Syiah kerana ada di antara mereka membawa gambar tokoh-tokoh Syiah seperti Ayatollah Khomeini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Fathul Bari, sememangnya umat Islam perlu berhati-hati dengan gerakan Syiah kerana golongan tersebut sentiasa memanfaatkan kejahilan orang Islam tentang fahaman mereka demi menarik sokongan.

''Bagi saya, pengajian perbandingan agama perlu diwujudkan sebagai satu modul dalam subjek pendidikan di peringkat sekolah dan universiti supaya boleh menjadi benteng kepada ancaman itu.

''Penganut Syiah juga boleh memasuki sesebuah negara dengan cara hubungan diplomatik. Sebab itu Maghribi telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran,'' katanya.

Menyentuh isu sama seorang pengkaji hadis, Umar Muhammad Noor berkata, salah satu rukun di dalam mazhab Syiah ialah memerangi individu serta golongan yang menyokong para sahabat Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata, keadaan itu berpunca daripada kebencian pengikut Syiah terhadap para sahabat seperti Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Uthman al-Affan, termasuk para isteri Rasulullah dengan mendakwa mereka sebagai golongan zalim.

Atas asas itu Umar berkata, pengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah termasuk di Malaysia tidak terlepas menjadi bahan cemuhan Syiah kerana mengangkat para sahabat sebagai ikutan.

''Syiah amat memusuhi pengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mereka menyatakan kumpulan ini hendaklah diperangi kerana bersekongkol dengan kezaliman para sahabat, sedangkan kita tahu para sahabat merupakan golongan yang dijamin Allah ke syurga.

''Oleh sebab itu, pengikut Syiah mendakwa usaha memerangi Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu perkara mulia dan suci,'' katanya yang kini sedang menyiapkan tesis ijazah kedoktoran bidang hadis di Universiti Malaya.

Umar menambah, atas sebab itu golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Syria, Iraq dan negara-negara umat Islam lain bukan sahaja diseksa, malah dibunuh akibat ketaksuban pengikut fahaman Syiah terhadap kepercayaan tersebut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment