My Add

Wednesday, 31 July 2013

Aktivis MIC sokong Tengku Adnan

Oleh SHEILA RANI CHANDRASEKARAN

 TENGKU ADNAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Aktivis MIC, Datuk R. Ramanan menyokong penuh kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkenaan kontroversi penyebaran gambar murid bukan Islam makan di bilik persalinan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak sebelum ini yang mengaitkannya dengan perkauman adalah tidak relevan.

"Saya berasa kecewa dengan sikap pihak-pihak yang memfitnah dan menuduh guru besar sekolah itu, Mohamad Nasir Mohd. Noor tidak bertanggungjawab sedangkan apa tindakan yang dilakukan olehnya adalah wajar daripada membiarkan murid makan di tepi longkang.

"Saya secara peribadi telah turun padang menyiasat perkara ini dan mendapati ia adalah bilik persalinan, bukannya tandas.

"Malah saya dapati, kantin itu tidak mampu menampung jumlah pelajar yang ramai serta tidak sesuai ekoran cuaca panas, jadi langkah guru besar menempatkan murid di bilik berkenaan adalah kerana prihatin. Difahamkan semua murid tersebut diberi pilihan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, sebuah portal melaporkan bahawa Tengku Adnan akan membela Mohamad Nasir sekiranya beliau didapati tidak bersalah dalam isu pelajar sekolah tersebut.

Katanya, pengetua tersebut telah melakukan tindakan sebaik mungkin berdasarkan laporan yang diterima oleh pihaknya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan kontroversi berhubung penyebaran gambar murid bukan Islam makan di bilik persalinan itu.

Sebelum ini, sebuah blog melaporkan murid-murid bukan Islam di sekolah berkenaan telah ditempatkan di tandas untuk makan pada waktu rehat dalam bulan Ramadan dan laporan itu menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment