BiotechCorp sasar labur RM3 bilion 2013
KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) mengunjurkan dapat mengumpul pelaburan bernilai RM3 bilion dalam sektor bioteknologi tempatan menjelang akhir tahun, melepasi sasaran asal sebanyak RM1.7 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Nazlee Kamal berkata, setakat ini hampir RM2 bilion pelaburan sudah diperoleh daripada pelabur asing dan tempatan.
"Kami berharap dapat membuat pengumuman mengenai beberapa pelaburan masuk pada persidangan dan pameran BioMalaysia dan BioEconomy Asia Pasifik 2013 dari 21 hingga 23 Oktober di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru," katanya pada sidang media mengenai acara itu di sini hari ini.
Mohd. Nazlee berkata, sebahagian besar pelabur berpotensi itu dari Amerika Syarikat, Jepun dan Perancis.
"Pasaran bioteknologi global dijangka mencecah AS$321 bilion menjelang 2015 dengan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) 7.42 peratus, dengan pasaran Asia Pasifik semakin mengatasi Amerika Syarikat dan Eropah pada 10.88 peratus CAGR setahun.
"Ini baik untuk rantau ini, terutama Malaysia, memandangkan kita merupakan hab bioteknologi yang paling kompetitif di rantau ini," katanya.
BiotechCorp akan memberi tumpuan terhadap usaha mengembangkan perniagaan peserta tempatan ke luar negara, dan setakat ini empat daripada 224 syarikat BioNexus sudah di senarai, katanya.
"Ada yang di senarai di bursa tempatan, Bursa Saham London dan Bursa Saham Australia.
"Kami sedang dalam proses menyenaraikan dua lagi syarikat tahun depan. Kali ini besar kemungkinan ia membabitkan dua penyenaraian," katanya.
Acara BioMalaysia dan BioEconomy, anjuran bersama BiotechCorp, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Protemp Exhibitions Sdn. Bhd., meliputi pembentangan, pelancaran produk baharu, demonstrasi produk serta sesi pertemuan perniagaan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment