My Add

Wednesday 31 July 2013

700 Unit Integriti diwujudkan

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

 * ZAKARIA Jaffar (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sambil disaksikan oleh Abdul Wahab Abdul Aziz pada majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Pelancaran Laporan Tahunan MACA 2012 di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU, SELASA, 30 Julai, 2013: Dalam usaha memastikan kalangan penjawat awam di negara ini mengamalkan budaya kerja yang lebih beretika serta berintegriti, kira-kira 700 Unit Integriti dijangka ditubuhkan membabitkan semua agensi kerajaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zakaria Jaffar berkata, penubuhan unit itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013, Penubuhan Unit Integriti Di Semua Agensi Awam.

Katanya, penubuhan unit berkenaan sangat penting bagi memastikan penjawat-penjawat awam di negara ini kelak mampu melaksanakan kerja dengan lebih beretika dan berkesan dalam agensi masing-masing.

"Penubuhan unit ini penting dalam usaha memastikan penjawat awam berupaya melaksanakan budaya kerja berkualiti, sekali gus mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam melaksanakan dasar yang dimandatkan rakyat," katanya.

Beliau berucap dalam majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan pelancaran laporan tahunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) 2012 di Kompleks SPRM Kelantan di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah MACA, Datuk Abdul Wahab Abdul Aziz; Pengarah SPRM negeri, Nor Rasmi Shaari dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low, memaklumkan kerajaan akan menubuhkan Unit Integriti di setiap agensinya sebagai inisiatif membendung salah laku jenayah, pelanggaran tatakelakuan dan etika organisasi dalam kalangan penjawat awam.

Paul berkata, sebagai satu usaha kawalan dalaman dalam aspek integriti, unit berkenaan bertanggungjawab melaksanakan enam fungsi teras iaitu tadbir urus, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pengurusan aduan, pematuhan dan tatatertib.

Sementara itu, mengulas mengenai MACA yang mula beroperasi sejak 2005, Zakaria berkata, pusat berkenaan mampu menjadi pusat kecemerlangan dari segi latihan serantau terutama menyediakan kemudahan latihan dalam bidang penguatkuasaan serta risikan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment