My Add

Wednesday 31 July 2013

SKMM sekat 6,648 laman web

 Ahmad Shabery
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sebanyak 6,648 laman web melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang lain sejak 2008 hingga 2013.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selain itu, setakat Jun lalu, sebanyak 29 kes sedang dalam siasatan SKMM di bawah Seksyen 233 akta berkenaan.

"Kes-kes berkenaan melibatkan penggunaan media sosial untuk menghina Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja di negara ini.

''Banyak lagi aduan diterima dan akan diambil tindakan sekiranya bertentangan dengan undang-undang. Peranan kementerian menerusi SKMM dalam perkara ini hanyalah di peringkat siasatan manakala pendakwaan dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara," katanya ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kementerian turut mengambil tindakan terhadap stesen-stesen televisyen yang menyiarkan rancangan memaparkan pelakon lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya.

Menurut Ahmad Shabery, walaupun rancangan terbabit berbentuk komedi, pemerhatian dibuat dari konteks sama ada perkara itu dianggap mendewakan agenda lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

"SKMM telah mengambil beberapa tindakan termasuk menegur stesen-stesen televisyen berkenaan," ujarnya.

Jelas beliau, beberapa stesen turut dikenakan denda dalam jumlah besar kerana menyiarkan rancangan komedi mengandungi dialog menyinggung sensitiviti pihak lain dan menyentuh institusi-institusi yang sepatutnya dipertahankan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment