My Add

Wednesday 31 July 2013

CEC: Guan Eng tidak endah desakan

PULAU PINANG, SELASA, 30 Julai, 2013: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak akan tunduk kepada desakan supaya diadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang dipertikaikan pelbagai pihak termasuk ahlinya sendiri selagi tidak mendapat surat rasmi daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Guan Eng berkata, beliau berasa pelik mengapa DAP perlu berbuat demikian kerana sehingga kini parti itu belum menerima sebarang surat daripada ROS.

"Ini adalah satu tindakan balas dendam politik dengan menjadikan DAP sebagai mangsa kerana kami tidak pernah dimaklumkan terlebih dahulu sama ada secara lisan atau bertulis tentang arahan untuk mengadakan pemilihan semula.

"Selain itu, surat rasmi yang dijanjikan oleh ROS masih belum disediakan dan apabila Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke melawat ibu pejabat ROS di Putrajaya pagi ini, beliau dimaklumkan bahawa surat tersebut masih belum siap untuk dihantar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

DAP menerima desakan berterusan daripada bekas ahlinya supaya mengadakan pemilihan semula CEC parti berkenaan selepas pemilihan tahun lepas diadakan dalam keadaan meragukan.

Antara yang konsisten menyuarakan desakan terhadap perkara tersebut termasuklah bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelik, Tan Tuan Tat yang turut mencabar Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya membuktikan beliau tidak bersalah dalam isu berkenaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment