My Add

Wednesday 31 July 2013

Ahli UMNO terima kaedah baharu pemilihan

ALOR GAJAH, SELASA, 30 Julai, 2013: Ahli UMNO di peringkat akar umbi dapat menerima kaedah baharu pemilihan anggota Majlis Tertinggi UMNO (MT) Oktober ini kerana proses tersebut dianggap lebih terbuka dan demokratik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, maklum balas daripada sesi penerangan dan taklimat yang dijalankan berhubung kaedah pemilihan MT itu didapati tidak mendapat bantahan atau dipertikaikan daripada ahli parti di seluruh negara.

''Sesi penerangan dan taklimat yang UMNO adakan di setiap negeri berjalan lancar malah boleh dikatakan ahli di peringkat bahagian dan cawangan faham dengan kaedah pemilihan mengikut perlembagaan parti yang baharu.

''Mereka menyifatkan pemilihan pucuk pimpinan parti kali ini lebih demokrasi kerana memberi peluang kepada 150,000 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara untuk memilih pemimpin parti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan menghadiri Majlis Berbuka Puasa Mara di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Alexander Nanta Linggi; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Keusahawanan Negeri, Datuk Hasan Rahman dan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment