1,997 individu capai 12 tahun tidak mohon MyKad di Kelantan
KOTA BHARU, SELASA, 30 Julai, 2013: Seramai 1,997 kanak-kanak yang mencapai usia 12 tahun sejak 2009 di Kelantan tidak membuat permohonan kad pengenalan atau MyKad masing-masing.
Pemangku Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan, Mohd. Zaid Mohamed berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan berharap ibu bapa tampil berbuat demikian dalam masa terdekat.
"Menjadi kesalahan tidak mempunyai kad pengenalan dan berharap ibu bapa prihatin dengan masalah ini yang mungkin dihadapi oleh anak-anak mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Zaid berkata, antara langkah yang diambil bagi menangani masalah itu termasuk pihaknya turun padang mendekati penduduk bagi mengesan kanak-kanak yang belum mempunyai kad pengenalan supaya mendaftar dengan segera.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menguar-uarkan kepada umum agar mengambil berat masalah ketiadaan kad pengenalan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perdaftaran Negara Negeri Sembilan, Mohd. Faizal Abdul Manap yang ditemui di sini, berkata 976 orang tidak memohon kad pengenalan di negeri itu walaupun sudah mencapai usia 12 tahun.
Beliau berkata, pihaknya akan turun ke sekolah di seluruh negeri itu bagi mengesan kanak-kanak terbabit agar membuat kad pengenalan dengan segera.
Beliau juga berharap pemilik kad pengenalan yang sudah mencapai usia 18 tahun ke atas membuat permohonan kad pengenalan baharu sebelum akhir umur 25 tahun.
"Ini menjadi kesalahan juga kalau kita tidak tukar kad pengenalan kita setelah mencapai usia 18 tahun, kerana mungkin wajah kita telah berubah," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment