My Add

Wednesday 31 July 2013

Lagi desak haramkan The New Village


KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Filem The New Village wajar diharamkan tayangan di Malaysia berikutan jalan ceritanya yang bukan sahaja memutar belit sejarah tanah air dengan mengangkat Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai 'hero' malah telah diterbitkan dalam bahasa Mandarin.

Menurut Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib, beberapa babak dalam filem itu jelas membawa unsur penyebaran fahaman komunis sekali gus melupakan pengorbanan para pejuang Melayu.

Katanya, penggunaan tema cinta yang tidak direstui adalah satu taktik supaya fahaman komunis dapat diserap secara halus sedangkan sejarah kewujudan Kampung Baru merupakan antara strategi ketenteraan bagi menentang komunis di bawah Rancangan Briggs.

"Pada ketika itu, komunis mendapat bantuan makanan dan perubatan daripada orang Cina yang tinggal di kampung-kampung, pinggir bandar dan berhampiran hutan, kampung tersebut diwujudkan oleh British untuk menyekat bekalan makanan serta ubat-ubatan daripada sampai ke tangan PKM yang pada masa itu berniat menguasai Persekutuan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan filem tersebut sebagai satu usaha menulis semula sejarah negara dengan mengangkat perjuangan pengganas komunis.

Sehubungan itu, Dzulkarnain berkata, pihak terbabit seperti Kementerian Dalam Negeri, Lembaga Penapisan Filem, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu mengadakan satu dasar atau polisi tetap bahawa tidak boleh menerbitkan apatah lagi menayangkan filem untuk tontonan orang ramai jika mempunyai unsur-unsur penyebaran fahaman komunis.

"Mengapa generasi muda mahu mengembalikan semula kenangan lama yang amat pahit dilalui oleh generasi dahulu setelah sekian banyak nyawa terkorban oleh asakan yang dilakukan oleh komunis pada ketika itu.

"Saya berharap pihak terbabit tidak tunduk dengan mana-mana tekanan politik atau desakan terutamanya daripada pembangkang demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Biar pembangkang marah, asalkan maruah negara kita tidak tergadai," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah menyifatkan penerbitan filem tersebut sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu untuk mewujudkan pergaduhan antara kaum dan akhirnya membawa kesan buruk kepada masyarakat di negara ini.

"Pihak berkuasa perlu tegas, jangan benarkan filem tersebut ditayangkan kerana sudah membangkitkan kemarahan rakyat.

"Ini satu perbuatan berniat jahat bertujuan supaya ada pertembungan antara agama dan kaum bagi membangkitkan perasaan marah serta boleh membawa kesan kepada masyarakat," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment