My Add

Wednesday 31 July 2013

Doktor rasis: Kementerian panggil pesakit

PULAU PINANG, SELASA, 30 Julai, 2013: Kementerian Kesihatan telah menubuhkan jawatankuasa khas berhubung dakwaan layanan buruk doktor terhadap pesakit di hospital kerajaan di Pulau Pinang.

Menterinya, Datuk Seri S. Subramaniam berkata, jawatankuasa tersebut telah memulakan siasatan termasuk berjumpa dengan kesemua pesakit terbabit bagi mengumpul maklumat yang tepat.

Menurutnya, berdasarkan laporan awal yang diterima, kes berkenaan tidak melibatkan unsur perkauman sebaliknya cara komunikasi yang membuatkan pesakit itu rasa seperti tertindas.

"Kami telah mengenal pasti beberapa masalah yang membawa kepada tercetusnya isu berkenaan termasuk kemahiran komunikasi yang kurang memuaskan.

"Siasatan dijangka selesai tidak lama lagi dan kita minta tiada sebarang spekulasi dibuat oleh mana-mana pihak berhubung isu ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan malam dan ramah mesra bersama pemimpin MIC negeri, di sini malam tadi.

Ditanya sama ada beliau masih mahu menunggu laporan daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung isu tersebut, Subramaniam menjelaskan, siasatan hanya melibatkan kementeriannya, pesakit dan doktor terbabit.

Isu doktor rasis mula timbul apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin mendedahkan terdapat pesakit Melayu yang mendapat layanan buruk daripada seorang doktor berketurunan Cina sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam sidang DUN.

Terbaharu, Roslan tampil dalam sidang akhbar bersama beberapa pesakit yang mendakwa menerima layanan buruk daripada doktor di dua buah hospital kerajaan di Pulau Pinang bagi membuktikan kejadian itu benar-benar berlaku. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment