Bincang isu TPPA perlu rasional - JMM
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Semua pihak digesa lebih rasional dalam membincangkan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan tidak sesekali mengkritik perkara itu untuk kepentingan peribadi semata-mata.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah menegaskan, perkara itu sewajarnya dilihat daripada sudut kepentingan negara dan suasana global.
Jelasnya, JMM sendiri membawa misi serta visi untuk berjuang bagi mempertahankan hak dan kepentingan bumiputera, namun dalam isu itu semua pihak perlu keluar dari kepompong pemikiran sempit atau terlampau konservatif.
"Saya berpendapat setiap organisasi mempunyai hak dan kebebasan untuk mengkritik sesuatu dasar atau inisiatif kerajaan, namun biarlah kritikan itu bersifat membina dan bukannya terlalu dramatik serta beremosi.
"Ini juga akan memberi gambaran negatif seolah-olah bumiputera terlalu lemah untuk bersaing dan tiada kemampuan untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah di persada antarabangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Usahawan Internet Malaysia, sebuah persatuan di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu sebelum ini menggesa kerajaan tidak menandatangani TPPA yang didakwa bukan sahaja menyekat hak bersuara rakyat, malah boleh 'membunuh' industri kreatif tempatan.
Mengulas lanjut, Azwanddin memberitahu, seperti kaum lain, orang Melayu dan bumiputera mempunyai maruah dan kekuatan tersendiri.
"Fakta dengan jelas membuktikan Malaysia adalah antara sebuah negara pengeksport utama di dunia, malah turut berjaya mencatatkan jumlah dagangan bernilai RM832 bilion pada 2012.
"Semua fakta ini jelas menunjukkan aktiviti perdagangan bebas dan antarabangsa selama ini telah menjadi nadi utama dalam pertumbuhan ekonomi negara dan mencipta banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia," ujarnya.
Malah, jelasnya, isu TPPA seharusnya dikupas secara rasional dan bukannya dengan emosi sehingga diulangi berkali-kali menggunakan contoh negatif yang berlaku di negara lain seolah-olah Malaysia juga sedang mengalami masalah yang sama ketika ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment