My Add

Wednesday 31 July 2013

BNM dan SKM jalin kerjasama

 * AHMAD Bashah Md Hanipah (dua dari kiri) bersama (dari kiri) Nik Ali Mat Yunus, Mohammad Ibrahim dan Nor Shamsiah Mohd. Yunus pada majlis menandatangani kerjasama antara Bank Negara Malaysia dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan membentuk hubungan kerjasama dan perkongsian maklumat bagi menjaga kepentingan bersama, selain mewujudkan pelaksanaan operasi koperasi berkaitan kewangan yang lebih berkesan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerjasama tersebut meliputi pertukaran maklumat, rumusan undang-undang dan dasar, inisiatif rangkuman kewangan, pembinaan kapasiti dan kerjasama teknikal.

Turut meliputi bidang kerjasama kedua-dua pihak itu adalah aturan kerjasama untuk kestabilan kewangan, kata Ahmad Bashah.

"Kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa ini juga akan menyokong kerjasama yang lebih baik antara BNM dengan SKM dalam usaha memajukan agenda rangkuman kewangan negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara BNM dan SKM di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nik Ali Mat Yunus dan dua Timbalan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim dan Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Tambah Ahmad Bashah, BNM dan SKM sedang mempertimbangkan permohonan syarikat-syarikat koperasi tempatan bagi mengambil deposit bukan di kalangan ahlinya.

Untuk melaksanakannya, katanya, BNM dan SKM perlu meneliti terlebih dahulu kriteria syarikat-syarikat koperasi yang mahu menjalankan aktiviti itu.

Malah, kedua-dua pihak telah membuat rangka kerja operasi dan penilaian berhubung perkara berkenaan.

"Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, syarikat koperasi yang bercadang untuk menjalankan aktiviti pengambilan deposit daripada bukan ahli dikehendaki mendapat kelulusan BNM dan SKM terlebih dahulu," katanya.

Nik Ali pula menambah, rangka kerja penilaian itu bertujuan memastikan syarikat koperasi yang menjalankan aktiviti pengambilan deposit daripada bukan ahli mempunyai kedudukan kewangan yang teguh serta wujud sistem tadbir urus.

Malah, jelasnya, BNM dan SKM akan memastikan syarikat-syarikat koperasi terbabit mempunyai pengurusan risiko yang mantap terutamanya untuk menguruskan risiko mudah tunai dan kredit secara berkesan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment