Parlimen K. Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam kekal milik BN
KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Sepang kekal setelah Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Jun lepas.
Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu setelah mendapati pempetisyen tidak menyatakan fakta yang jelas dan mencukupi dalam permohonan mereka.
Katanya, pempetisyen mengemukakan fakta yang terlalu umum seperti dakwaan catatan pada kertas undi yang ditolak tetapi bagaimana ia berlaku, tidak dinyatakan.
Berikutan keputusan itu, Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam terus kekal di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) manakala Sepang milik Pas.
Petisyen bagi Parlimen Kuala Selangor difailkan oleh pengundi Muhammad Rashid Muhammad Kasim, Parlimen Sungai Besar oleh Mat Ismail Nasir (pengundi) dan Dr. Abdul Aziz Bari (calon) bagi Parlimen Sabak Bernam.
Bagi Parlimen Kuala Selangor, Sungai Besar dan Sabak Bernam, Hakim Zaleha memerintahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM20,000 kepada calon yang bertanding iaitu Datuk Irmohizam Ibrahim (Kuala Selangor), Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).
Beliau juga memerintahkan tiga pempetisyen tersebut membayar kos RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Bagi Parlimen Sepang, Latif Wagiman (pengundi) diperintah membayar RM30,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR serta RM20,000 kepada Mohamed Hanipa Maidin (calon).
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Zaleha membenarkan bantahan awal yang dikemukakan calon yang bertanding, Pegawai Pilihan Raya (RO) bagi empat kawasan Parlimen tersebut dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada pilihan raya lalu, bagi Parlimen Kuala Selangor Irmohizam mengalahkan Dr Dzulkefli Ahmad (Pas) dengan majoriti 460 undi; Parlimen Sungai Besar Noriah (BN) mengalahkah Mohamed Salleh M Husin (Pas), majoriti 399; Parlimen Sabak Bernam Mohd Fasiah mengalahkan Abdul Aziz (PKR), majoriti 1,644 dan Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed (BN) kalah kepada Mohamed Hanipa (Pas) dengan majoriti 1,104. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment