My Add

Wednesday, 31 July 2013

32 peratus berjaya turunkan berat badan

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Seramai 32 peratus daripada 33,000 peserta Program Pencegahan Penyakit Tidak Berjangkit 1Malaysia (NCDP1M) berjaya menurunkan berat badan dengan purata pengurangan sebanyak 3.4 juta kilogram.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, kejayaan tersebut dicapai selepas tempoh enam bulan intervensi dengan merangkumi 500 lokasi projek peringkat komuniti di seluruh negara.

"Objektif utama program yang dimulakan pada November 2010 ini adalah untuk memperkasakan ahli-ahli komuniti untuk melaksanakan saringan dan intervensi faktor risiko NCD secara kendiri.

"Kerajaan berharap usaha ini dapat mewujudkan persekitaran yang menyokong pemakanan sihat, hidup yang aktif dan bebas dari asap rokok bagi mencegah penyakit-penyakit NCD termasuk diabetes," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Rohani Abdullah yang bertanyakan langkah kerajaan untuk membendung peningkatan sebanyak 15 peratus penghidap kencing manis atau diabetes dalam kalangan penduduk berumur 30 tahun ke atas di negara ini.

Menurut Hilmi, pada 17 Disember 2010, Jemaah Menteri telah meluluskan Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (NSP-NCD) untuk membentuk polisi yang dapat memberi perlindungan dan jaminan kesihatan rakyat.

Jelas beliau, kementeriannya juga memperluaskan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (COMBI) untuk memperkukuhkan kempen gaya hidup sihat sebagaimana kejayaan dicapai untuk pencegahan dan kawalan penyakit denggi.

"Kementerian Kesihatan menasihatkan semua rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke atas menjalani ujian saringan kesihatan asas setahun sekali.

"Perkhidmatan saringan bagi faktor risiko NCD untuk individu-individu yang sihat terdapat di semua klinik-klinik kesihatan kerajaan termasuk Klinik 1Malaysia dan Klinik Bergerak 1Malaysia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment