Polis yakin selesai kes bunuh pengasas AmBank
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Polis percaya pembunuhan pengasas AmBank Berhad, Hussain Ahmad Najadi, 75, semalam dilakukan pembunuh upahan yang diupah individu yang tidak berpuas hati dengan mangsa berhubung satu urusan jual beli hartanah.
Sehubungan itu, polis akan memanggil saksi terlibat termasuk beberapa individu yang ditemui mangsa dan isterinya di Tokong Ceylon Kuan Yin, sebelum kejadian tembak terbabit berlaku.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti tujuh saksi yang melihat kejadian tembak itu dan akan memanggil mereka untuk membantu siasatan.
"Pada masa sama, polis sedang mengesan pemandu teksi yang membawa suspek sejurus selepas kejadian dan menyiasat penglibatannya dalam kes itu.
"Siasatan polis bukan sahaja menjejaki suspek yang melepaskan tembakan malah turut menjurus untuk mengenal pasti individu yang merancang pembunuhan terbabit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Menurut Mohmad, polis yakin dapat menyelesaikan kes itu selepas imej suspek yang melepaskan tembakan ke arah mangsa berjaya dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tokong berkenaan.
"Setakat ini, perkembangan kes menunjukkan petanda positif selepas pihak kami mengenal pasti imej seorang daripada tiga suspek yang terlibat.
"Berdasarkan imej yang dirakam kami percaya suspek adalah warga tempatan yang telah diupah oleh individu lain untuk membunuh mangsa," katanya lagi.
Mohmad berkata, isteri mangsa yang cedera terkena beberapa das tembakan di pergelangan tangan dan paha kini dalam keadaan stabil.
"Polis akan memberi masa untuknya berehat sebelum diambil keterangan," katanya.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, Hussain yang berasal dari Iran dan mendapat taraf penduduk tetap (PR) mati ditembak oleh seorang lelaki berpakaian sukan di hadapan tokong terbabit.
Mangsa ditembak dua das di dada dan rusuk kiri manakala isterinya yang turut terkena tembakan cedera parah di pergelangan tangan dan paha serta kini dirawat di Pusat Perubatan Prince Court di sini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment