My Add

Wednesday, 31 July 2013

Ambil tindakan bawah Akta Hasutan - Noh

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Julai, 2013: Individu yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat mengenai murid bukan Islam makan di bilik persalinan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh sehingga menimbulkan polemik perlu didakwa mengikut Akta Hasutan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, ini kerana individu tersebut telah memutar belit fakta dan dilihat berniat jahat menyalakan api perkauman bagi menghasut rakyat.

"Dalam isu ini, tuduhan bahawa murid-murid tersebut makan di dalam 'tandas' sahaja sudah menunjukkan satu pembohongan yang jelas. Tandas dan bilik persalinan banyak perbezaannya.

"Tanpa mendapatkan penjelasan, gambar situasi dalam bilik itu telah dimuat naik ke laman Facebook dengan mendakwa kononnya murid-murid bukan Islam di sekolah tersebut didiskriminasi dan ditindas. Isu ini jelas telah diputarbelitkan.

"Saya minta polis siasat segera laporan yang dibuat oleh guru besar. Sekiranya perlu, sila ambil tindakan di bawah Akta Hasutan," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke sekolah tersebut dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim; Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mahmud Karim; Guru Besar SK Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd. Noor dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Pristana, Hussein Mohd. Ariff.

Menurut Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, penjaga murid yang bertanggungjawab memuat naik gambar tersebut tidak mengetahui latar belakang mengenai punca bilik persalinan di sekolah itu dijadikan tempat makan.

Katanya, penjaga tersebut baharu sahaja berpindah ke kawasan perumahan di situ dan memasukkan anaknya di SK Seri Pristana seminggu sebelum tercetusnya isu.

"Keputusan pihak sekolah dan PIBG menjadikan bilik persalinan itu sebagai sebahagian tempat makan sejak bulan Mac lagi, namun tidak pernah timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa lain sehinggalah penjaga itu muncul.

"Sebagai ibu bapa, mereka perlu mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada pihak sekolah atau PIBG dan bukan terus menyerang menggunakan medium tidak sepatutnya," kata beliau.

Dalam pada itu, Noh meminta agar Jabatan Pendidikan negeri supaya tidak mengambil tindakan terhadap Mohamad Nasir kerana menyifatkan tindakan yang diambil guru besar tersebut adalah betul.

"Sekolah ini majoriti muridnya adalah Melayu. Sebelum tercetusnya isu, murid-murid Melayu turut menggunakan bilik persalinan tersebut sebagai tempat makan.

"Bagi saya, isu ini sudah selesai dan selepas disiasat jelas tiada sebarang unsur perkauman," katanya. - UTUSAM 

No comments:

Post a Comment